SEJARAH TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF
Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga m/s 691 kognitif telah didefinisikan sebagai segala perkara yang berkaitan dengan kognisi seperti proses pembelajaran , pemahaman dan pemerolehan pengetahuan . Proses kognitif ini hendaklah dianggap sebagai satu fenomena yang kita tidak boleh lihat secara langsung.
Pendekatan kognitif lebih menekankan pada proses di sebalik tingkah laku yang ditunjukkan. Atau dengan perkataan lain ia lebih memberi fokus kepada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada dalam ingatan. Penyatuan maklumat ini kemudian akan diubah dan disusun semula. Hasil pemikiran bergantung pada proses mental dalaman tersebut. Ahli-ahli psikologi kognitif menekankan bahawa kita bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif. Sebaliknya otak kita akan memproses secara aktif maklumat yang diterima dan menukarkan maklumat kepada bentuk atau kategori baru .Secara ringkasnya,teori ini menerangkan pembelajaran sebagai proses yang melibatkan pemerolehan dan penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk yang bermakna dan mudah diingat oleh pelajar.
Bermula dengan teori perkembangan kognitif Piaget (1926 dalam Good & Brophy, 1990) teori ini menerangkan bahawa skema (the internal knowledge structure) berkembang apabila kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya dan skema itu sentiasa berkembang dan berubah kerana menyerap dan menyimpan maklumat baru. Gagne (1985) pula menerangkan terdapat tiga peringkat pemprosesan maklumat, iaitu daftar deria (sensory register) dalam ingatan aktif (working memory, WM), ingatan jangka pendek (short-term memory, STM) dan ingatan jangka panjang (long-term memory, LTM). Maklumat baru yang dipelajari akan didaftarkan dalam WM dan jika diperlukan buat sementara waktu, ia akan disimpan dalam STM. Selepas digunakan beberapa kali, maklumat ini menjadi kekal dan disimpan dalam LTM untuk tempoh masa yang lama. Apabila maklumat ini perlu diingat kembali, ia akan diaktifkan semula dan dibawa ke WM untuk digunakan. Menurut Gagne, maklumat dalam minda sentiasa diproses dan diadaptasikan apabila maklumat baru diterima dan proses ini dinamakan proses pembelajaran. Ausubel (1978) menyokong teori pembelajaran ini melalui kajiannya yang mendapati bahawa jika pembelajaran itu memberi kesan kepada pelajar, maka ia akan lebih mudah dipelajari, diingat dan dihubungkaitkan dengan skema sedia ada, serta lebih kekal dalam ingatan. Bidang kajian ini dinamakan Sains Kognitif.
Kesimpulannya,seseorang individu itu seharusnya memaksimumkan penggunaan minda mereka supaya mereka dapat menjadi pemikir yang aktif. Sebagai manusia yang telah dikurniakan otak untuk berfikir, kita seharusnya dapat bertindak balas degan sewajarnya apabila menerima sesuatu maklumat dan bersedia pula untuk berubah sikap jika kita dapati bahawa idea kita sebelum ini adalah salah atau negatif.
No comments:
Post a Comment