Monday, July 26, 2010

Teori Konstruktivis


















TEORI KONSTRUKTIVISME KOGNITIF


1.0 SEJARAH

Konstruktivisme bukanlah satu konsep baru. Ia berasal daripada bidang falsafah dan telah digunakan dalam bidang sosiologi dan antropologi dan juga dalam bidang psikologi kognitif dan pendidikan. Pada tahun 1710, ahli falsafah konstruktivis yang pertama, iaitu Giambatista Vico, mengatakan … “one only knows something if one can explain it” (Yager, 1999).

Immanuel Kant menyokong pendapat ini dan mengatakan bahawa manusia bukanlah penerima maklumat yang pasif. Misalnya, pelajar menerima maklumat dengan aktif, menghubungkannya dengan maklumat terdahulu yang telah diasimilasinya, dan menjadikan maklumat itu miliknya dengan membina kefahaman atau membuat interpretasi ke atas maklumat tersebut (Cheek, 1992). Seterusnya, perspektif konstruktivisme ini terhasil daripada kajian Piaget, Vygotsky, ahli psikologi gestalt, Bartlett, Bruner, Von Glaserfeld, Anderson, Dewey, Papert dan Confrey.

Pembelajaran bermakna (meaningful learning), mengikut John Dewey (1966), melibatkan belajar dengan membuat” (learning by doing), yang kemudiannya dapat membantu pelajar berfikir dan membentuk kefahaman tentang masalah yang cuba dihuraikan. Dewey mempelopori gerakan “progresivisme” dalam pendidikan. Dalam keadaan yang sama, kita menyaksikan Jean Piaget (1951) lebih awal mengutarakan tentang perkembangan kognitif dalam karya terjemahan, “Play, Dreams and Imitation in Childhood” dan Vygotsky (1978) dalam Mind in Society yang dikaitkan dengan perspektif konstruktivisme dalam perkembangan minda kanak-kanak.

Sejak satu setengah dekad yang lampau, di Amerika Syarikat pengajaran dan buku teks telah diolah agar lebih menjurus kepada penggalakan proses berfikir, menyelesaikan masalah dan membina keupayaan untuk belajar. Inilah gerakan konstruktivisme yang sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat, yang juga mengambil kira pemikiran Dewey dan Bruner. Dalam konteks tempatan, kita menyaksikan gerakan ini sudah bermula dalam pembelajaran sains dan matematik yang cuba menyemarakkan perspektif konstruktivisme.



2.0 BIODATA



Jean Piaget telah dilahirkan di Neuchâtel, Swiss pada 9 Ogos1896.Beliau yang merupakan seorang ilmuwan adalah anak sulung dari Arthur Piaget, seorang profesor dalam sastera abad pertengahan di Universiti Neuchâtel dan Rebecca Jackson, seorang yang cerdas dan energik. Jean Piaget didapati berpotensi tinggi dalam bidang psikologi dan ini menyebabkan pada usia 11 tahun, beliau telah menulis tentang burung gereja albino ketika masih belajar di Neuchâtel Latin high scholl.

Setelah tamat belajar di sekolah tinggi, beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Neuchâtel. Pada tahun 1918, Piaget telah menerima gelaran Ph.D. dalam ilmu alamiah dari Universiti Neuchâtel dan beliau belajar sebentar di Universiti Zurich. Kemudian, Piaget berpindah dari Switzerland ke Paris, Perancis selepas tamat belajar dan diterima untuk mengajar di sekolah Grange-Aux-Belles Street iaitu sekolah untuk lelaki sahaja. Sekolah ini dikendalikan oleh Alfred Binet iaitu pengembang ujian kecerdasan Binet, dan Piaget dipilih untuk membantu dalam menandakan ujian kecerdasan Binet's. Semasa beliau membantu untuk menandakan beberapa ujian, Piaget telah memerhatikan bahawa murid-muridnya sering secara konsisten memberikan jawapan yang salah bagi soalan-soalan tertentu. Walaubagaimana pun, Piaget tidak begitu banyak tumpuan pada kenyataan dari jawapan murid-murid yang salah, tetapi jenis kesalahan yang dilakukan secara konsisten yang tidak dilakukan oleh kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa. Ini menyebabkan beliau merasakan bahawa proses kognitif kanak-kanak adalah berbeza dengan orang dewasa. Akhirnya, beliau telah mencadangkan teori global tahap perkembangan kognitif, iaitu memperlihatkan pola-pola umum tertentu kognisi dalam setiap tempoh perkembangan. Pada 1921, Piaget telah kembali ke Switzerland sebagai pengarah Institut Rousseau di Geneva dan pada tahun yang sama, rencana pertamanya mengenai psikologi kecerdasan diterbitkan dalam Journal de penghibur.

Pada 1923, Piajet telah berkahwin dengan Valentine Châtenay iaitu salah seorang mahasiswinya. Pada tahun 1925, puteri pertama mereka dilahirkan, kemudian pada tahun 1927 puteri kedua mereka pula dilahirkan, dan anak ketiga dilahirkan pada tahun 1931. Pada tahun 1929, Jean Piaget menerima jawatan sebagai Pengarah Biro Pendidikan Antarabangsa dan menjadi ketua organisasi antarabangsa ini sampai 1968. Setiap tahun, beliau akan menyusun "Pidato Pengarah"nya untuk Dewan BPI itu dan untuk Konferensi Internasional tentang Pendidikan Umum, dan dalamnya beliau menyatakan tentang keyakinan pendidikannya.

Pada tahun 1940, beliau menjadi ketua Eksperimen Psikologi, pengarah Makmal Psikologi, dan presiden Masyarakat Psikologi Switzerland. Pada tahun 1942 pula, beliau telah memberikan sedikit kuliah di College de France, selama pendudukan Nazi di Perancis. Selain itu, beliau juga diangkat sebagai Presiden Suruhanjaya Switzerland UNESCO. Pada tahun 1952, beliau menjadi profesor di Sorbonne dan pada tahun 1955 pula, beliau telah mengilhamkan Pusat Antarabangsa untuk Epistemologi Genetik, kemudian berkhidmat sebagai pengarah. Dan pada tahun 1956, beliau telah membangunkan School of Sciences di Universiti Geneva.

Pada 1964, Piaget dijemput untuk menjadi sebagai perunding di dua persidangan di Cornell University dari 11 Mac sehingga 13 Mac dan University of California, Berkeley dari 16 Mac sehingga 18 Mac. Persidangan tersebut membahaskan tentang hubungan kajian kognitif dan pembangunan kurikulum, dan berupayakan untuk memikirkan tentang implikasi dari penyiasatan terkini perkembangan kognitif anak-anak untuk kurikulum. Pada tahun 1979, beliau telah dianugerahkan Hadiah Balzan Sosial dan Sains Politik. Pada umur 84 tahun, beliau telah meninggal dunia di Geneva pada 16 September 1980.



3.0 PRINSIP / KONSEP

3.1 PRINSIP-PRINSIP

Prinsip-prinsip asas teori pembelajaran konstruktivisme kognitif yang dipelopori oleh Jean Piaget terdiri daripada dua aspek, iaitu :

a) Proses yang kita lalui untuk mengetahui sesuatu

b) Peringkat yang kita lalui sambil kita memperoleh kebolehan tersebut

3.2 KONSEP-KONSEP ASAS

Di dalam Teori Kognitif Kanak-Kanak yang telah dibincangkan, Piaget menekankan pengubahsuaian diri dalam alam sekitar adalah faktor yang penting dalam perkembangan kognitif individu. Beliau berpendapat, di dalam proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar, pembelajaran sebenarnya telah berlaku apabila individu memperolehi pengalaman daripada proses interaksinya dengan orang lain, perkara atau benda yang terdapat dalam alam sekitar.


Di dalam Teori Pembelajaran Kognitif Piaget (1970), terkandung huraian lima konsep asas teori iaitu skema, adaptasi, keseimbangan, asimilasi dan akomodasi yang berkait rapat dengan pembelajaran kognitif individu.

Skema (Schema)

Skema merupakan model tingkah laku asas individu yang ditonjolkan semasa proses pengubahsuaian diri dalam alam sekitar. Ia adalah dirujuk sebagai kebolehan atau pengalaman individu yang dipelajari dan diperolehi berdasarkan syarat-syarat yang diwarisi. Oleh itu, skema yang ditonjolkan, misalnya aksi, bahasa, pemikiran, pandangan ataupun idea yang boleh mewakili ciri tingkah laku, adalah disebut sebagai skema individu. Maka, skema individu merupakan tingkah laku yang sering berubah mengikut pembelajarannya. Di dalam peringkat-peringkat perkembangan kanak-kanak skema tingkah laku mereka berubah dari semasa ke semasa, biasanya dari kasar kepada halus, dan daripada mudah kepada kompleks. Contohnya, kanak-kanak memegang sesuatu benda adalah skema pegangangnya. Ini menyebabkan teknik memegangnya semakin beransur-ansur maju apabila perubahan skema kanak-kana kini sebenarnya mewakili hasil yang diperolehi daripada pembelajarannya.

Adaptasi (adaptation) dan Keseimbangan (equilibration)

Di dalam teori pembelajaran kognitif Piaget, adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling mempengaruhi satu sama lain. Tambahan pula, kedua-duanya menggunakan skema sebagai asas tindakan dia antara mereka. Kehidupan individu di dalam alam sekitar, sekiranya skemanya (bentuk tingkah laku) yang sedia ada telah memadai digunakan untuk memuaskan keperluan semasa proses pengubahsuaian diri, maka individu itu tidak perlu lagi memperolehi pengalaman baru, dan pembelajaran baru tidak akan berlaku lagi. Di dalam situasi ini, ia bermakna skemanya belum berubah, bentuk adaptasi pun belum berubah, oleh itu perhubungan dalaman dan luaran individu adalah dikatakan sedang di bawah keadaan keseimbangan.

Sebaliknya, jika seseorang individu tidak dapat menggunakan skemanya yang sedia ada untuk mengadaptasikan keperluan alam sekitar, keadaan keseimbangan di antara individu itu dengan alam sekitarnya akan hilang dan lenyap . Di dalam proses ini, keseimbangan adalah sama dengan sesuatu kuasa penggerak dalaman, iaitu di bawah konteks psikologi adalah dikatakan sebagai motivasi pembelajaran. Adalah ditegaskan disini, Piaget menghuraikan pembelajaran sebagai motivasi individu yang mengambil inisiatif sendiri untuk megubahsuai diri dalam alam sekitar dan bukan seperti teori rangsangan.

Asimilasi (assimilation) dan Akomodasi (accommodation)

Untuk mengekalkan keseimbangan, iaitu memperolehi pula kepuasan kerana motivisi, individu terpaksa mengubahsuai diri melalui proses adaptasi. Di dalam proses adaptasi ini, skema individu beransur-ansur berubah hingga perubahan tingkahlakunya menjadi semakin kompleks. Mengikut pandangan Piaget, adaptasi merangkumi dua bentuk, satunya ialah asimilasi dan satu yang lain ialah akomodasi, kedua-dua saling berkait dan saling melengkapi dalam pembentukan proses pembelajaran kognitif secara keseluruhan. Fenomena mengubah struktur kognitif kerana proses adaptasi adalah dikenali sebagai proses akomodasi. Dengan huraian ini, adalah didapati bahawa akomodasi merupakan sesuatu proses psikologikal yang berlaku semasa seseorang individu berusaha atas inisiatif sendiri melalui mengubah struktur kognitif dengan tujuan mengadaptasi keperluan situasi pembelajaran yang dihadapinya. Ringkas kata, mengikut piaget, murid belajar melalui proses adaptasi, mengorganisasi ilmu atau maklumat baru dan dengan proses asimilasi, i , mentransformnya dalam struktur kognitif (skema) dengan ilmu dan maklumat yang sedia ada dapat diperkukuh serta ditambah. Bagi ilmu atau maklumat yang tidak seimbang dengan skemanya, mereka menggunakan proses akomodasi untuk cara reorganisasi dan menyesuaikannya dalam struktur kognitif dan dengan proses yang sedemkian, ilmu pengetahuan murid dapat diperkembangkan dan dipertingkat kepada tahap yang lebih tinggi.





4.0 MAKLUMAT

Teori pembelajaran konstruktivisme kognitif (1896-1980) merupakan satu teori yang diasaskan dan diperkembangkan oleh Jean Piaget. Jean Piaget merupakan seorang ahli psikologi Switzerland yang cuba menjelaskan tentang kaedah manusia mempersepsi ilmu dan membuat hipotesis. Piaget pada awalnya mempunyai latar belakang pendidikan dalam lapangan biologi dan menggelar dirinya sebagai seorang “genetist epistemologist” sebelum beliau beralih minat kepada perkembangan kognitif kanak-kanak melalui satu insiden yang berlaku di Makmal ujikaji IQ Binet di Paris, tempat di mana beliau bekerja. Antara persoalan yang sering menarik minat Piaget dalam lapangan biologi ialah “bagaimana kita menjadi tahu?”. Piaget juga percaya bahawa apa yang membezakan antara manusia dengan haiwan adalah kebolehan manusia untuk memberi alasan yang abstrak atau “abstract symbolic reasoning”.

Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat bahawa persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.


4.1 TEORI KONSTRUKTIVISME KOGNITIF

Konstruktivisme bermaksud pembinaan pengetahuan dan lebih dikenali sebagai teori pembelajaran yang melihat pelajar sebagai pembina pengetahuan, bukannya sebagai penerima pengetahuan. Pelajar membina pengetahuan tentang topik yang dipelajari dengan cara mengaitkannya dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada masing-masing, bukannya menerima bulat-bulat pengetahuan yang disampaikan.

Teori pembelajaran konstruktivisme mempunyai asas teori kognitif dengan penekanan diberikan kepada bagaimana struktur kognitif membina dan mengorganisasi pengetahuan. Melalui teori ini, pelajar akan sentiasa membina pengetahuan sendiri berasaskan premis, pengetahuan atau pengalaman sedia ada kepada pengetahuan atau pengalaman baru.

Selain itu, ia juga merujuk kepada pendapat bahawa murid akan membina pengetahuan berasaskan pengalaman mereka. Setiap murid membina makna semasa mereka belajar. Namun, cara seseorang individu menimba ilmu pengetahuan yang terbaik dan mendalam, adalah dengan membina makna secara aktif melalui interaksinya dengan persekitaran fizikal dan sosial.

Kesimpulan yang dapat dibuat bagi teori ini, pembelajaran merupakan satu proses yang aktif dimana murid mengguna input sensori untuk membinanya. Murid belajar cara belajar semasa mereka belajar. Ia meliputi membina makna dan membina sistem makna. Hal ini kerana, pembelajaran didefinisikan sebagai aktiviti sosial dimana pembelajaran berkaitan dengan manusia lain, guru, rakan sebaya dan lain-lain hubungan.



4.2 KAJIAN JEAN PIAGET

Jean Piaget berpendapat bahawa keupayaan mengurus maklumat dan pengetahuan berlaku secara berperingkat. Pengetahuan tersebut dibina melalui melalui maklumat baru diserap masuk atau disesuaikan dalam struktur kognitif melalui proses adaptasi. Proses adaptasi merujuk kepada proses menyesuaikan dan menerima maklumat baru dalam struktur kognitif untuk mendapatkan keseimbangan antara skema dengan persekitaran dan ini dinamakan equilibrasi.

Adaptasi dapat dibahagikan kepada dua proses, iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi bermaksud apabila maklumat baharu mempunyai ciri-ciri persamaaan dengan maklumat sedia ada dalam skema, maklumat tersebut akan diserapkan dengan mudah ke dalam struktur kognitif. Ini menyebabkan keseimbangan atau equilibrasi berlaku. Manakala akomodasi pula bermaksud apabila maklumat baharu tidak mempunyai ciri-ciri persamaan dengan maklumat dalam skema, akan berlaku ganggu-gugat atau keseimbangan dalam struktur kognitif. Proses ini dinamakan disequilibrasi. Apabila skema berubah, melalui pembacaan, perbincangan atau seumpamanya, maklumat baharu akan diserap masuk. Oleh itu, struktur kognitif akan mencapai equilibrasi.

Kedua-dua proses asimilasi dan akomodasi berlaku sepanjang hayat individu dalam proses penyesuaian diri dengan persekitaran. Dengan proses adaptasi yang semakin kompleks, skema juga akan menjadi lebih kompleks. Skema yang semakin kompleks ini akan membentuk struktur kognitif. Struktur kognitif akan melalui proses organisasi secara hierarki dan daripada susunan umum kepada khusus.



4.3 PERINGKAT PERKEMBANGAN TEORI JEAN PIAGET

4.3.1 Peringkat Deria Motor (0-2 Tahun)

Dalam peringkat ini, kanak-kanak mula menggunakan deria motornya untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya. Selepas dilahir selama dua bulan, seorang bayi sudah boleh membezakan objek-objek di dalam persekitrannya. Antara 4 hingga 8 bulan, bayi itu kelihatan telah mempunyai daya koordinasi di antara penglihatan dan sentuhan. Apabila berusia satu tahun, dia mula menyedari objek-objek lain di dalam persekitarannya. Diantara 1 hingga 2 tahun, kanak-kanak cuba menggunkan berbagai-bagai skema (struktur menyelesaikan masalah yang dia hadapi). Pada akhir dua tahun, kanak-kanak kelihatan mula boleh belajar bahasa dan lambang yang mudah. Dari kelahiran hingga umur 2 tahun, kanak-kanak cuba belajar koordinasi di antara deria motor dengan gerakannnya serta cuba mengaitkan perkataan-perkataan dengan objek-objek yang dapat dilihat dalam persekitarannya. Contohnya, bayi berumur sebelum sembilan bulan tidak akan mencari objek yang tidak kelihatan setelah diperhatikan objek tersebut sebelummya. Pada tahap ini, bayi melihat kepada hubungan antara badannya dengan persekitaran. Kebolehan deria motornya berkembang dari semasa ke semasa. Bayi tersebut mempelajari tentang dirinya dengan melihat, menyentuh, dan mendengar di sekelilingnya kemudian menirunya. Kebolehan untuk meniru tingkah laku dikenali sebagai pembelajaran melalui pemerhatian (observational learning) (Mussen dan Kagan, 1974). Dalam perkembangan sensorimotor ini, terdapat enam sub tahap yang dikategorikan dengan melihat perkembangan kebolehan tertentu pada umur yang tertentu.


a) Dari lahir hingga satu bulan (refleks)

Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan yang diwujudkan lahir melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan (genggaman dan sebagainya), penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya. Gerakan ini belum dapat ditentukan perbezaannya. Sebahagian besar daripada gerakan ini dilakukan ialah untuk keperluan tertentu atau hanya sebagai gerakan pantulan sahaja.

b) Sebulan hingga empat bulan (reaksi asas sekular)

Peringkat pertama pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi sekular. bayi mula mempunyai pengertian tentang bahagian badannya yang tertentu. Di tahap ini, pengalaman memainkan peranan yang penting untuk pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pengalaman boleh didapati daripada perkembangan di tahap pertama. dengan itu tingkah laku kanak-kanak pada tahap kedua ini sudah bergantung kepada andaian sebab musabab yang tertentu untuk mewujudkan sesuatu situasi baru. Pergerakan sistem sensori mula diselaraskan dengan sistem pandangan dan gerakan tangan. bila mendengar sesuatu bunyi, bayi akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca sumber bunyi. Contohnya, sekiranya bayi tersebut melakukan sesuatu tingkah laku yang ganjarannya akan mendapat menyeronokkan atau menyenangkan, dia akan mengulangi tingkah laku itu lagi.

c) Empat hingga lapan bulan (reaksi sekular kedua)

Di tahap ini bayi mempunyai persediaan untuk membuat pandangan dan pemerhatian yang lebih. Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pembelajaran. Bayi telah dapat melakukan tingkah laku baru seperti mengambil sesuatu barang lalu menggerakkannya. Di waktu ini, bayi boleh membuat tanggapan tentang objek dalam tangannya. Contohnya, bayi itu sengaja memasukkan barang mainan ke dalam mulut dengan tujuan untuk mengetahui atau mengenali barang tersebut.


d) Lapan hingga dua belas bulan ( reaksi kordinasi)

Ia dikatakan sebagai masa pengukuhan di mana keadaan yang wujud sebelumnya disesuaikan di antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi sudah dapat dikatakan sebagai sebagai berada di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi. Bayi sudah mengetahui sebab akibat sesuatu keadaan berlaku. Contohnya, apabila menggoncangkan sesuatu alat mainan, ia akan berbunyi.


e) Dua belas bulan hingga lapan belas bulan (reaksi sekular ketiga)

Pada ketika ini, penemuan makna baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku secara aktif. Hal ini kerana, bayi memerlukan kecepatan untuk melahirkan keseluruhan rangkaian tingkah laku apabila berada di dalam sesuatu situasi baru. Di tahap ini, bayi memperlihatkan kemajuan yang pesat berhubung dengan pemahaman sesuatu konsep dan telah mempunyai konsep yang kukuh tentang sesuatu objek. Bayi juga mengalami proses cuba jaya tetapi dalam keadaan yang mudah. Contohnya, kanak-kanak ini akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian.

f) Lapan belas bulan hingga dua tahun (penggambaran pemikiran awal)

Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanak-kanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan jenis-jenis tingkah laku peniruan yang diperhatikan. Kanak-kanak juga telah mengetahui tentang peranan jantina dan fungsi individu dalam rumahtangga.


4.3.2 Peringkat Pra Operasi (2 hingga 7 Tahun)

Dalam peringkat ini, kanak-kanak boleh menggunakan bahasa serta simbol untuk mengambarkan sesuatu konsep. Apabila mencapai umur 4 tahun kanak-kanak telah boleh bertutur dengan fasih dan melalui bahasa yang dikuasai, perkembangan kognitifnya kian menjadi pesat. Pemikiran kanak-kanak dalam peringkat ini adalah egosentrik. Mereka menganggap pengalaman dan pandangan orang lain adalah serupa dengannya. Mereka percaya semua objek mempunyai jiwa, oleh itu mereka tidak boleh membezakan angan-angan dengan kenyataan. Mereka hanya boleh memikir secara transdaktif, iaitu daripada contoh khusus kepada contoh contoh khusus sahaja. Namun demikian, mereka tidak boleh memikir secara deduktif (daripada umum kepada contoh khusus) dan secara induktif (daripada contoh khusus kepada umum). Pada akhir peringkat ini, mereka mula berupaya memberi sebab untuk menyokong kepercayaan mereka, boleh mengelaskan objek mengikut ciri-ciri tertentu dan memahami konsep pengabadian bilangan.

4.3.3 Peringkat Operasi Konkrit (7 hingga 12 Tahun)

Tahap ini bermula pada umur tujuh tahun atau lapan tahun hingga 11 atau 12 tahun. Kanak-kanak dapat memanipulasikan dan membentuk reprentasi mental secara dalaman. Mereka mempunyai pelbagai pemikiran dan memori tentang objek-objek yang konkrit seperti komputer, perabot dan benda-benda maujud. Dalam eksperimen konservasi kuantiti yang dilakukan oleh Piaget, kanak-kanak dapat mengabadikan (conserve) dalam minda kuantiti dan memerhatikan perubahan dalam bentuk luaran objek atau benda-benda. Pada mulanya, kanak-kanak bergantung pada persepsi segera seperti rupa bentuk objek secara luaran. Dengan perlahan-lahan mereka membentuk peraturan dan skema dalaman tentang apa dan bagaimana sesuatu perkara berlaku. Seterusnya, menggunakan skema dalaman untuk memberi panduan tentang penaakul daripada bentuk luaran sahaja. Kanak-kanak di tahap operasi konkrit ini dapat memanipulasi representasi dalaman objek-objek yang konkrit ini dapat memanipulasi representasi dalaman objek-objek yang konkrit untuk mengenal pasti kuantiti-kuantiti yang terkandung di dalamnya.

Seterusnya, implikasi logikal dapat menyedarkan kanak-kanak tentang objek-objek yang disentuh. Menurut Piaget, tahap terakhir dalam perkembangan kognitif adalah meneliti dan mengsplikasi prinsip-prinsip yang sama kepada konsep-konsep abstrak.

4.3.4 Peringkat Operasi Formal (selepas 12 Tahun)

Tahap operasi formal bermula umur 11 atau 12 tahun dan seterusnya melibatkan operasi mental pada yang abstrak dan simbol yang mungkin tidak mempunyai bentuk fizikal dan konkrit. Dalam pada itu, kanak-kanak mula memahami perkara-perkara yang mungkin mereka tidak terlibat dan alami secara langsung. Lebih daripada itu, mereka dapat membentuk dan mencari untuk mewujudkan representasi mental pada situasi yang dihadapinya dengan logik. Justeru, teori perkembangan kognitif adalah berasaskan tahap demi tahap. Bagi Piaget, tahap-tahap ini berlaku pada usia yang sama bagi kanak-kanak. Setiap tahap memasuki tahap baru, kanak-kanak memikirkan cara-cara dan ciri-ciri yang dikenal pasti dalam tahap berkenaan dengan nyata dan berkesan. Dalam peringkat, remaja telah boleh memikir secara abstrak dan boleh menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Mereka juga boleh memikir secara deduktif atau induktif dan menggunakannya untuk membuktikan teori atau hukum matematik.





5.0 FOTO / RAJAH / JADUAL DAN BAHAN AUDIO VISUAL












6.0 IMPLIKASI

Melalui teori ini yang berlandaskan ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar, dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak implikasi teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran dan antaranya adalah pembelajaran yang dijalankan akan lebih berpusatkan pelajar dan pelajar belajar melalui proses membuat atau beraktiviti. Oleh itu, guru hendaklah merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teliti serta mengambil kira keupayaan pelajar.

Selain itu, guru juga berperanan sebagai pembimbing, pemudahcara serta perancang dan pelajar memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran. Malah, pengalaman dan kesediaan pelajar merupakan faktor penting yang mempengaruhi proses pembentukan ilmu baru. Ini bererti tahap isi pelajaran haruslah bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Sebagai contoh, jika pelajar tidak mampu menguasai sesuatu topik, guru perlulah mengubah pendekatan yang lebih mudah difahami oleh pelajar.

Implikasi seterusnya, guru mengenal pasti Zon Perkembangan Terdekat (ZPD) pelajar melalui beberapa aktiviti yang dijalankan dan menggunakannya untuk memastikan pembelajaran berkesan dapat berlaku. Hal ini kerana melalui zon perkembangan terdekat, pelajar mudah untuk menguasai isi pelajaran sekiranya ia adalah berasaskan skema ataupun pengetahuan sedia ada.

Membuat perkaitan antara isi pelajaran dengan situasi sebenar juga salah satu implikasi teori konstruktivisme kepada pengajaran. Perkaitan ini dapat mengukuhkan lagi pembelajaran pelajar tentang yang dipelajarinya. Tugasan autentik yang berasakan masalah alam nyata, pengalaman berasaskan konteks sebenar dan simulasi juga boleh dimanfaat di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya, mengadakan aktiviti secara berkumpulan juga dapat mewujudkan interaksi yang berkualiti antara pelajar dan sebagai contoh, perbincangan dan gerak kerja kumpulan. Melalui aktiviti dan perbincangan dalam kumpulan, pelajar dapat berkongsi idea, mendapat pemahaman yang lebih jelas dan meluahkan buah fikiran. Selain itu, melalui aktiviti ini juga, guru boleh memilih pelajar-pelajar yang lebih berkemahiran untuk membimbing dan mengajar rakan sebaya yang lemah. Hal ini kerana, pelajar lebih mudah apabila rakan sebayanya yang membimbing.



7.0 ANALISIS MENGGUNAKAN TEKNIK SWOT



7.1 STRENGTH / KEKUATAN

Kekuatan teori ini yang didapati banyak membantu kanak-kanak untuk menggunakan kognitif dalam kehidupan seharian mereka. Berdasarkan dari hasil kajian Jean Piaget, perkembangan yang paling penting di tahap kanak-kanak ialah penggunaan bahasa. Kanak-kanak yang berada di tahap ini mula menggunakan simbol di dalam permainan, contohnya mengantikan buku sebagai kereta apabila ditolak di atas lantai. Walaubagaimanapun, pemikiran kanak-kanak masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan orang dewasa dari segi kualiti kerana pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik iaitu melihat alam sekeliling hanya dari perspektif mereka sahaja. Seterusnya, Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak menjadi lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asas yang berlaku iaitu perkembangan kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira, melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil, dan hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu pengukuhan tingkah laku.

Selain itu, Piaget juga ada mengatakan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan pada tiga fenomena mental yang penting iaitu pengamatan, ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula ialah satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental.


7.2 WEAKNESS / KELEMAHAN

Dari segi kelemahan teori ini, terdapat beberapa orang pengkritik menyatakan bahawa teori Piaget tidak mampu menerangkan struktur, proses dan fungsi kognitif dengan jelas. Ada juga pengkritik yang mempertikaikan kebenaran wujudnya empat peringkat perkembangan kognitif yang disarankan oleh Piaget. Mereka menyatakan sekiranya kanak-kanak melalui setiap peringkat perkembangan kognitif berasaskan set operasi yang khusus, maka apabila kanak-kanak tersebut berjaya memahirkan set operasi tertentu, mereka sepatutnya juga dapat menyelesaikan semua masalah yang memerlukan set operasi yang sama.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menunjukkan kemampuan pemuliharaan iaitu yang terdapat pada tahap operasi konkrit, maka berdasarkan teori Piaget, dia sepatutnya dapat menunjukkan kemampuan pemuliharaannya dalam angka dan berat pada masa yang sama. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Klausmeier dan Sipple (1982) menunjukkan keadaan yang berbeza di mana kanak-kanak sentiasa menunjukkan kemampuan pemuliharaan berat lebih lewat daripada pemuliharaan angka. Keadaan ini adalah bercanggah dengan teori Piaget.

Dari segi metodologi juga, pengkritik mempertikaikan kaedah klinikal yang digunakan dalam kajian Piaget di mana kajian dengan kaedah klinikal sukar untuk diulang. Oleh itu, kesahihannya adalah diragui. Pengkritik juga menuduh Piaget membuat generalisasi daripada sampel-sampel yang saiznya terlalu kecil dan tidak menepati piawaian.



7.3 OPPORTUNITIES / PELUANG

Peluang dapat didefinisikan sebagai suasana atau keadaan luaran yang sesuai dan dapat membantu untuk mencapai objektif. Peluang yang dapat dirungkaikan dalam teori ini, adalah interaksi antara kanak-kanak kerana Piaget berpendapat bahawa faktor yang paling penting dalam perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berinteraksi dengan rakan-rakan. Hal ini kerana, untuk memastikan kanak-kanak dapat memiliki konflik kognitif, yang akan menyebabkan kanak-kanak mengeluarkan pendapat mereka terhadap rakan-rakan. Jenis interaksi akan menyebabkan kanak-kanak atau orang lain untuk mempertimbangkan sudut pandang mereka. Selain itu, Piaget juga dapati bahawa keadaan kanak-kanak yang paling mencabar dalam pemikiran mereka adalah ketika mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya. Namun, sekiranya kanak-kanak terlalu mirip dalam pemikiran mereka, kemungkinan besar akan ada sedikit perdebatan tentang sesuatu yang ingin dimiliki. Oleh itu, bertepatanlah peluang ini dengan tujuan dan objektif yang dikemukakan oleh Jean Piaget dalam teorinya.

7.4 THREATS / ANCAMAN

Piaget telah bahagikan tahap kanak-kanak kepada dua sub tahap iaitu Tahap Pro-konseptual ( 2-4 tahun ) dan Tahap Pra-operasi ( 4-7 tahun ). Di tahap pra-konseptual, kanak-kanak belum lagi dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama. Hal ini kerana, mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran. Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang, ketidaksanggupan membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap hubungan di antara peristiwa yang berbeza. Terdapat empat kandungan utama proses kognitif dalam tahap ini iaitu 'egocentrism', 'konsep sebab-akibat', 'peningkatan perolehan bahasa' dan 'pembentukan identiti diri'. Satu lagi ancaman di tahap ini ialah dari segi prinsip ketekalan ; iaitu pengetahuan bahawa kuantiti adalah tidak berhubung kait dengan susunan atau keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak yang tidak memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah.

Selain itu, ancaman yang seterusnya bagi teori ini atau suasana dan keadaan luaran yang boleh merosakkan objektif pembelajaran kognitif kanak-kanak. Ini dapat dianalisiskan bahawa sekiranya kognitif kanak-kanak tidak bersesuaian dengan konstruktivisme iaitu, persekitaran dan pengalaman kanak-kanak tersebut, akan membuatkan kekeliruan dalam diri kanak-kanak. Tambahan pula, kognitif kanak-kanak adalah berbeza bagi setiap individu dalam menjalani kehidupan dan memerlukan bimbingan dari orang dewasa. Oleh itu, ancaman ini akan menyebabkan kanak-kanak tidak berkembang pemikirannya dan pengalaman hidupnya.

8.0 BAHAN-BAHAN RUJUKAN

INTERNET

http://www.answers.com/topic/jean-piaget

http://www.learningandteaching.info/learning/piaget.htm

http://www.nndb.com/people/359/000094077/

http://www.piaget.org/aboutPiaget.html

BUKU

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Syarifah Fakhriah Syed Ahmad. 2009. Murid dan Alam Belajar. Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor
















TEORI KONSTRUKTIVISME SOSIAL



1.0 SEJARAH

Idea konstruktivisme berasal daripada teori perkembangan kognitif Piaget dan teori perkembangan proximal (Zone of Proximal Development, ZPD) Vygotsky. Di bawah konteks konstruktivisme, pandangan Piaget terhadap sumber ilmu pengetahuan adalah proaktif, manakala Vygotsky merupakan penyokong konstruktivisme yang bersifat kolektif.

Teori pembelajaran konstruktivisme sosial yang diasaskan oleh Vygotsky mengatakan bahawa murid-murid kita biasanya membina pengetahuan secara individu serta sosial. Sebagai guru, kita perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi mereka mengkaji serta memanipulasi objek sedia ada. Dengan kata lain, mereka diberi peluang untuk berinteraksi dengan maklumat yang disampaikan bertujuan untuk mereka membuat intepretasi masing-masing. Memandangkan setiap murid adalah berbeza dari segi latar belakang, budaya, kebolehan, minat, dan sebagainya, maka sudah pasti pengalaman serta pengetahuan ada juga akan berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, amat penting bagi kita memainkan peranan sebagai fasilitator dalam proses pembinaan pembelajaran murid-murid kita.




2.0 BIODATA



Pengasas Teori Pembelajaran Konstruktivisme ialah Lev Vygotsky atau nama sebanarnya ialah Lev Semyonovich Vygotsky. Beliau dilahirkan pada 17 November 1896 di Orsha, dalam Wilayah Jajahan Rusia yang sekarang dikenali sebagai Belarus. Vygotsky berasal dari keluarga Jewish yang tidak beragama. Beliau juga merupakan salah seorang ahli psikologi Soviet yang terkenal dan juga menjadi pengasas kepada psikologi budaya-sejarah. Beliau telah dipengaruhi oleh saudaranya iaitu David Vygodsky. Beliau juga merupakan seorang graduan daripada Universiti Kebangsaan Moscow dalam tahun 1917. Kemudian, beliau telah bekerja di Institut Psikologi dalam pertengahan tahun 1920-an dan beberapa lagi institut pendidikan, penyelidikan dan perubatan di Moscow, Leningrad dan Kharkov dimana beliau telah bekerja secara ekstensif untuk menghasilkan pelbagai idea tentang pembangunan kognitif. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1934 di Moscow disebabkan oleh penyakit tuberculosis pada umur 37 tahun.

Selain daripada tugasnya sebagai pengasas dan ahli psikologi, Vygotsky juga merupakan salah seorang penulis yang berprofil tinggi kerana beliau telah menghasilkan 6 jilid buku dalam kerja majornya dan telah menulis secara kasarnya selama 10 tahun bermula daripada penulisan bukunya yang bertajuk Psychology of Art (1925) sehingga bukunya yang terakhir yang bertajuk Thought and Language [or Thinking and Speech] (1934). Minat Vygotsky dalam bidang pembangunan psikologi, pembangunan kanak-kanak dan pendidikan juga sangat mendalam. Antara hasil penulisan beliau adalah seperti berikut:

  • Consciousness as a problem in the Psychology of Behavior, essay, 1925
  • Educational Psychology, 1926
  • Historical meaning of the crisis in Psychology, 1927
  • The Problem of the Cultural Development of the Child, essay 1929
  • The Fundamental Problems of Defectology, article 1929
  • The Socialist alteration of Man, 1930
  • Ape, Primitive Man, and Child: Essays in the History of Behaviour. A. R. Luria and L. S. Vygotsky. 1930
  • Paedology of the Adolescent, 1931
  • Play and its role in the Mental development of the Child, essay 1933
  • Thinking and Speech, 1934
  • Tool and symbol in child development, 1934
  • The Collected Works of L. S. Vygotsky, 1987




3.0 PRINSIP & KONSEP

3.1 Zon Perkembangan Proximal (ZPD)

Menurut Vygotsky, tahap perkembangan murid-murid kita boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tahap perkembangan sebenar dan tahap perkembangan berpotensi. Oleh itu, zon perkembangan proximal merujuk kepada jarak antara tahap perkembangan sebenar (yang ditentukan oleh kebolehan menyelesaikan masalah secara individu) dan tahap perkembengan berpotensi (yang ditentukan oleh proses menyelesaikan masalah dengan bimbingan orang dewasa yang lain ataupun rakan sebaya yang lebih berkebolehan.

Secara ringkas, boleh dikatakan bahawa rakan yang lebih berilmu akan berkongsi pengetahuan dengan murid yang berkenaan bertujuan untuk merapatkan jurang antara apa yang dia diketahui dan apa yang belum atau tidak diketahui. Apabila ilmu murid meningkat, sudah berlaku perubahan dari segi ZPD dimana tahap perkembangan sebenar telah bertambah luas dan mendalam. Pendek kata, ZPD murid-murid kita sering berubah dan tidak bersifat statik. Bagi menggalakkan berlakunya pembelajaran dalam kalangan mereka, kita perlu menyediakan apa yang dipanggil sebagai perancah (scaffolding).

3.2 Konsep Perancah (scaffolding)

Konsep ini boleh diaplikasikan dalam bilik darjah di mana perancah atau scaffolding ini digunakan sebagai satu metafor. Perencah merujuk kepada bimbingan yang di beri oleh seorang dewasa (misalnya, guru) dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui soalan-soalan yang berfokus dan interaksi yang bersifat positif. Sehubungan dengan itu, amat penting untuk anda ketahui bahawa dalam berperanan sebagai perancah, anda hanya akan memberi sokongan minimum yang penting sahaja bagi membolehkan murid anda berjaya anda memberi bimbingan atau bantuan tanpa mengenepikan kehendak murid-murid untuk berkembang. Cabaran bagi anda ialah mencari imbangan yang optimum antara memberi sokongan dan memberi peluang murid-murid anda untuk bertindak secara berdikari. Apabila anda mendapati bahawa mereka sudah boleh menguasai kemahiran bagi satu-satu tajuk pengajaran, anda boleh mula “menghilangkan diri”. Oleh itu, amat penting agar anda berada satu langkah di hadapan daripada murid-murid anda dan sentiasa mencabar mereka agar berusaha untuk mencapai ke tahap kebolehan yang melebihi tahap pada masa kini. Selain itu, harus anda ingat juga bahawa jika pengajaran berlaku di luar zon (sama ada atas atau bawah ZPD murid berkenaan), besar kemungkinan tiada pertumbuhan akan berlaku.

Berikut adalah garis panduan untuk membantu anda melaksanakan peranan sebgai perancah:

· Sedar tentang pelbagai peranan anda dan murid-murid sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, anda sebagai model kepada murid-murid anda, murid-murid anda boleh meniru tingkahlaku anda, anda akan “menghilankan diri” secara beransur-ansur dan murid-murid menjadi perencah kepada rakan-rakan mereka sehingga kesemua murid telah menguasai kemahiran tersebut.

· Bilik darjah hendaklah disusun untuk kerja kumpulan agar murid-murid boleh berkolaborasi sesama mereka dan bertindak sebagai pengajar kepada rakan sebaya demi penguasaan kemahiran yang dikehendaki.



4.0 MAKLUMAT

4.1 Intisari Teori Konstruktivisme Sosial Vygotsky

a) Kanak-kanak utamanya membina ilmu dan menguasai kemahiran melalui interaksi sosial dan aktiviti sosiobudaya.

b) Zon perkembangan proximal merupakan tahap perkembangan kognitif kanak-kanak di mana ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi dapat dibina ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi dapat dibina dengan bimbingan guru atau rakan darjah yang lebih maju.

c) Bahasa memainkan peranan utama dalam membentuk pemikiran untuk membina ilmu dan kemahiran.

d) Pendidikan memainkan peranan utama dalam membantu murid belajar.

4.2 Ciri-ciri Pembelajaran Secara Konstruktivisme

a) Menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru.

b) Menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran.

c) Menyokong pembelajaran secara koperatif.

d) Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi murid.

e) Memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi dunia yang sebenar.

f) Menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen.

g) Mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana murid belajar sesuatu idea.

h) Mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid.

i) Menggalakkan soalan/idea yang dimulakan oleh murid dan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran.





5.0 FOTO, RAJAH, JADUAL & BAHAN AUDIO VISUAL



















6.0 IMPLIKASI

6.1 Implikasi Teori Konstruktivisme Sosial dalam Pengajaran-Pembelajaran

a) Gunakan zon perkembangan proximal membimbing murid belajar dengan teknik scaffolding supaya membolehkan mereka memperoleh ilmu dan kemahiran dalam peringkat yang lebih tinggi.

b) Aktiviti pengajaran harus bermula dari had bawah zon perkembangan proximal, yang mana murid hanya dapat memperoleh tahap ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi melalui kolaborasi yang erat dengan seorang guru atau melalui pembelajaran koperatif.

c) Memandangkan murid pula boleh mendapat manfaat daripada sokongan dan bimbingan rakan sedarjah, maka guru harus menggalakkan murid yang lebih maju memberi bimbingan kepada rakan sedarjahnya yang kurang maju.

d) Menggalakkan pembelajaran koperatif untuk meningkatkan prestasi pembelajaran.

e) Zon perkembangan proximal (ZPD) merupakan kriteria asas untuk menilai prestasi murid. Maka pencapaian murid harus dinilai berdasarkan prestasi murid dalam ZPD.

6.2 Implikasi Teori Konstruktivisme dalam Pengajaran-Pembelajaran

Berdasarkan Teori Konstruktivisme, kognitif dan sosial, yang telah dibincangkan, maka diturunkan beberapa prinsip pengajaran dan pembelajaran yang diimplikasikan daripadanya seperti berikut:

a) Di dalam pengajaran dan pembelajaran yang berlandaskan Teori Konstruktivisme, peranan guru merupakan pembimbing, pemudahcara dan perancang, sedangkan pelajar memainkan peranan utama dalam aktiviti pembelajaran.

b) Model pengajaran-pembelajaran yang sesuai sekali digunakan ialah inkuiri-penemuan, pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif. Kaedah dan teknik mengajar tradisi, seperti syarahan, menghafal dan mengingat, adalah tidak sesuai digunakan untuk membentuk ilmu lagi.

c) Pengalaman dan kesediaan pelajar adalah faktor penting yang mempengaruhi proses pembentukan ilmu baru. Ini bermakna tahap isi pelajaran hendaklah sesuai dengan kebolehan pelajar.

d) Keutamaan pembelajaran adalah ditumpukan kepada hasil perolehan berlandaskan konstruktivisme.

e) Penilaian tradisi tidak sesuai lagi digunakan. Bentuk dan alat penilaian terhadap tahap pembentukan ilmu hendaklah dibentukkan oleh guru dan murid bersama-sama.






7.0 ANALISIS TEKNIK SWOT


7.1 STRENGTH / KEKUATAN

a) Berfikir

Dalam proses membina pengetahuan baru, murid akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Sebagai contoh, ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan.

b) Faham

Kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru.

c) Ingat

Setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.

d) Yakin

Murid yang belajar secara konstruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menhadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru.

e) Kemahiran Sosial

Murid yang berkemahiran social boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran social ini diperoleh apabila murid berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka.

f) Seronok

Dalam pembelajaran secara konsrtuktivisme, murid membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran.

7.2 WEAKNESS / KELEMAHAN

· Guru merasa mereka tidak mengajar.

· Amalan yang dimajukan dalam pembelajaran secara konstruktivisme dianggap tidak realistik.

· Guru merasa bahawa penerangan mereka tidak penting lagi.

· Kawalan kelas agak merosot.

· Guru yang sedang menukar cara mengajar kepada pendekatan konstruktivisme memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak sekolah.

Walaupun terdapat beberapa kesulitan berkaitan dengan pelaksanaan pembelajaran secara konstruktivisme, kesulitan itu harus dipandang sebagai cabaran yang perlu diatasi oleh guru.

7.3 OPPORTUNITIES / PELUANG

· Murid mengambil inisiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu, kemudian secara individu mereka membuat analisis dan menjawab soalan-soalan itu. Mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah.

· Murid selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka. Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka. Jika murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan mendengar idea orang lain, murid tersebut dapat membina asas pengetahuan yang mereka faham.

· Murid mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan.

· Murid menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan.

7.4 THREATS / ANCAMAN

· Kanak-kanak ialah pembina teori. Ilmu pengetahuan tidak disampaikan kepadanya. Sebaliknya, dia bertanggungjawab membina pengetahuan. Oleh itu, guru perlu menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk pembinaan pengetahuan kanak-kanak.

· Guru perlu menerima hakikat bahawa kanak-kanak datang kek kelas dengan berbekalkan pelbagai pengetahuan yang sedia ada dan nilai-nilai tertentu. Mereka akan membina pengetahuan berdasarkan idea-idea dan nilai-nilai yang sedia ada itu.

· Guru bukan merupakan penyebar pengetahuan. Sebaliknya beliau lebih merupakan seorang pemudah cara atau fasilitator. Beliau akan menyediakan pelbagai jenis bahan pembelajaran dan menggalakkan uji kaji, percubaan serta penyelesaian masalah agar pembinaan pengetahuan oleh kanak-kanak dapat berlaku.

· Guru perlu menggalakkan interaksi di kalangan murid. Interaksi dan pertukaran idea-idea antara murid memudahkan pembinaan pengetahuan mereka.

· Prosedur penilaian perlu diubah daripada penekanan terhadap ingatan kembali fakta-fakta kepada penumpuan terhadap pemahaman.

8.0 SENARAI BAHAN-BAHAN RUJUKAN

BUKU

Mook Soon Sang. 2008. Siri Pendidikan: Psikologi Pendidikan Dan Pedagogi, Murid Dan Alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Selangor

Choong Lean Keow. 2008. Siri Pendidikan Perguruan : Murid Dan Alam Belajar Untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Selangor

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Syarifah Fakhriah Syed Ahmad. 2009. Murid dan Alam Belajar. Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor

INTERNET

www.scribd.com

www.slideshare.com

www.wikipedia.org

http://www.uga.edu/columns/102797/bboard.html

http://www.funderstanding.com/vygotsky.cfm



9.0 PAUTAN RUJUKAN-RUJUKAN TAMBAHAN